Friday, August 14, 2009

Ramadhan dan Ibadah Puasa


Bulan Ramadhan adalah bulan yang istimewa bagi umat Islam kerana pada bulan ini seluruh umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam.


Hadis berkenaan bulan Ramadhan

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban (dengan mafhum):

"Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang di dalamnya terdapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu pada bulan itu adalah umpama seseorang yang menunaikan 70 amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain.

Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya."

Para sahabat r.hum lalu berkata, "Bukankah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa."

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."

(Sumber: Fadhilat Ramadhan)


Maksud puasa
Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam

Di dalam bahasa Arab, "siam" bermaksud meninggalkan, manakala maksud dari perspektif ilmu fiqh adalah "meninggalkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari dengan disertakan niat".


Perkara-perkara yang boleh dibentuk dalam diri seorang Islam melalui berpuasa:
1. Sifat ikhlas
Puasa melibatkan menahan diri dari perbuatan-perbuatan tertentu sepanjang hari (daripada waktu imsak sehingga waktu berbuka) dalam keadaan di khalayak ramai ataupun bersunyi diri. Kerana ini puasa dapat membentuk sifat melakukan ibadah ini semata-mata kerana Allah (bukan kerana ingin dilihat oleh manusia) untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah di samping menjauhi akibat meninggalkan suruhan Allah ini

2. Membentuk sifat pengorbanan, sabar dan tabah.
Mengekangkan nafsu syahwat dan keinginan walaupun untuk perkara-perkara yang halal seperti makan dan minum serta bersetubuh dengan isteri di siang hari secara tidak langsung membina sifat pengorbanan, kesabaran dan ketabahan menghadapi kepayahan. Ini termasuk membina sifat sabar dalam menahan kemarahan dan bersifat lapang dada semasa sedang berpuasa (dan selepas berbuka)


3. Menyihatkan tubuh badan
Puasa memberi peluang untuk tubuh badan kita terutamanya bahagian pemakanan dan penghadaman untuk berehat selama sebulan selepas sembilan bulan bekerja keras (memproses makanan untuk kita). Namun begitu, kesan yang baik hasil daripada berpuasa mungkin hilang jika kita berlebihan semasa berbuka atau bersahur, malah mungkin boleh mendatangkan mudharat.

4. Menghayati kehidupan mereka yang kurang atau tidak berkemampuan
Puasa memberi kita peluang untuk merasa kepayahan mereka yang tiada makanan atau minuman pada siang hari dan terpaksa berlapar dan dahaga. Dengan menghayati hakikat ini, akan datang rasa keinsafan dan simpati terhadap mereka. Pembayaran zakat fitrah juga menunjukkan keprihatinan kita untuk menjalankan tanggung-jawab terhadap mereka.


Tingkatan-tingkatan puasa:

Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin membahagikan puasa kepada tiga tingkatan, iaitu Puasa Umum, Puasa Khusus dan Puasa Khususul khusus.

1. Puasa Umum
Puasa pada tingkatan ini hanya sekadar menahan lapar dan dahaga di samping menahan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.


2. Puasa Khusus
Puasa pada tingkatan ini lebih baik daripada puasa umum kerana ia termasuk menahan pendengaran, penglihatan, percakapan, perbuatan (tangan, kaki dan seluruh anggota badan yang lain) daripada melakukan dosa.

Untuk mencapai tahap puasa ini, perkara-perkara berikut perlu diambil-kira di samping menahan lapar, dahaga dan keinginan nafsu syahwat:

- menjauhkan diri daripada melihat perkara-perkara yang tercela, dibenci oleh syariat dan boleh melalaikan daripada mengingati Allah

- menjauhkan diri daripada mengumpat, menipu (berdusta), atau bercakap tentang perkara yang sia-sia (tidak mendatangkan faedah). Sebaliknya habiskan masa dengan berzikir, membaca Quran atau sekadar berdiam diri

- menjauhkan diri daripada mendengar perkara yang haram dan mendatangkan dosa

- menjauhkan anggota tubuh badan yang lain daripada perbuatan maksiat dan perkara-perkara yang mendatangkan dosa.

- mengelak diri daripada berbuka dengan perkara yang syubhat dan yang haram, di samping mengelakkan daripada makan dan minum semasa berbuka secara berlebihan

- wujudkan rasa ketakutan kepada Allah dan rasa akan kehebatan Allah, sama ada puasa ini akan diterima atau ditolak oleh Allah kerana kekurangan yang ada.


3. Puasa Khususul khusus
Puasa pada tingkatan ini adalah terbaik kerana ia termasuk menahan hati daripada melakukan dosa (seperti tersedik untuk melakukan maksiat) dan dari memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan kehidupan akhirat.
Puasa pada tahap ini adalah puasa para nabi dan mereka yang memiliki sifat taqwa yang tinggi kepada Allah


Rukun Puasa:
Tiga rukun puasa adalah:

1. Seorang muslim (beragama Islam), baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih dari haid dan nifas.

2. Niat berpuasa antara waktu selepas terbenam matahari dan sebelum subuh (puasa wajib)

3. Meninggalkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu:

- memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh dengan sengaja (bukan terlalai atau terlupa), termasuklah merokok, memasukkan jari atau sebarang objek ke dalam telinga, hidung, kemaluan depan (faraj) dan belakang (dubur)

- muntah dengan sengaja (contohnya dengan menjolok tekak dengan jari)

- menelan kahak (lendir yang keluar daripada bahagian kepala atau dada)

- keluar haid atau nifas (jika terkeluar, maka puasa terbatal dengan sendirinya)

- keluar mani dengan sengaja (kecuali berlaku dalam mimpi atau keadaan tidak sedar)

- jimak atau bersetubuh (sama ada keluar mani atau tidak)


Perkara-perkara yang disunatkan dalam berpuasa

1. Bersahur
Maksudnya adalah makan atau minum antara waktu pertengahan malam
hingga waktu sebelum imsak, walaupun sekadar minum seteguk air

2. Menyegerakan berbuka
Maksudnya adalah mempercepatkan berbuka puasa apabila telah masuk waktu(bukan menangguh-nangguhkannya), walaupun dengan sebiji tamar atau seteguk air.

3. Beriktikaf (di masjid)

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan tujuan berpuasa.


Solat Tarawih

Solat Tarawih pada umumnya adalah sunat dan boleh dikerjakan secara berseorangan (bukan berjemaah). Menurut riwayat Nabi s.a.w pernah mengerjakan solat tarawih di masjid bersama para sahabat. Pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a., beliau memerintahkan umat Islam pada masa itu mengerjakannya secara berjemaah dan beliau melantik Ubai bin Kaab sebagai imam.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bilangan rakaat solat Tarawih. Ada yang berpendapat 41 rakaat, 39 rakaat, 23 rakaat, 13 rakaat, 11 rakaat dan ada juga beberapa pendapat lain.

Menurut Mazhab Syafie, pendapat yang digunakan adalah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat. Imam Nawawi ada menyebut bahawa seelok-eloknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran di dalam solat Tarawih sepanjang bulan Ramadhan dengan menghabiskan 1 juzuk setiap malam.


Kelebihan Malam Sepuluh Terakhir Ramadhan dan Malam Lailatul Qadar.

Antara kelebihan malam sepuluh terakhir Ramadhan ialah:

1. Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w. memperbanyakkan ibadah pada malam sepuluh terakhir melebihi daripada malam-malam yang sebelumnya.

2. Terdapat malam Lailatul Qadar yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak di mana pada malam itulah diturunkan al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Qadar ayat 1.

Hadis berkenaan Malam Lailatul Qadar
Hazrat Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatulqadar, lalu Baginda bersabda (mafhumnya):

"Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir. Sesungguhnya Lailatulqadar berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat pada malam-malam itu dengan iman dan niat untuk mendapat ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan.

Antara tanda-tanda Lailatulqadar adalah keadaan terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar (kerana banyak nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Antara tanda-tanda Lailatulqadar lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Matahari terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu (sebaliknya pada hari-hari lain syaitan akan muncul di tempat terbitnya matahari)."

(Sumber: Fadhilat Ramadhan)


3. Iktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadhan (bermula dari sebelum terbenam matahari hari ke 20 bulan Ramadhan hingga selepas terbenam matahari hari terakhir bulan Ramadhan) di mana fadhilatnya adalah lebih banyak dari hari-hari biasa, dengan mendampingi masjid untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti solat, membaca Quran dan berzikir.



Zakat Fitrah:
Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa termasuk bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan (menurut Mazhab Syafie). Kadarnya adalah secupak tamar, gandum, atau makanan rasmi sesebuah negara. Ia boleh dibayar bermula dari awal Ramadhan sehingga Hari Raya Pertama (walaupun makruh hukumnya untuk membayar selepas solat sunat hari raya)


Sumber rujukan: Panduan Puasa Ramadhan (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Untuk maklumat lanjut tentang puasa di bulan Ramadhan, sila muat turun Panduan Puasa Ramadhan melalui link pada gambar di bawah.

KLIK GAMBAR UNTUK MUAT TURUN EBOOK PERCUMA

Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif