Friday, August 14, 2009

Ramadhan dan Ibadah Puasa


Bulan Ramadhan adalah bulan yang istimewa bagi umat Islam kerana pada bulan ini seluruh umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam.


Hadis berkenaan bulan Ramadhan

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban (dengan mafhum):

"Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang di dalamnya terdapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malam hari (bertarawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu pada bulan itu adalah umpama seseorang yang menunaikan 70 amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain.

Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya."

Para sahabat r.hum lalu berkata, "Bukankah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa."

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. memberikan pahala itu kepada sesiapa sahaja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."

(Sumber: Fadhilat Ramadhan)


Maksud puasa
Puasa bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam

Di dalam bahasa Arab, "siam" bermaksud meninggalkan, manakala maksud dari perspektif ilmu fiqh adalah "meninggalkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari dengan disertakan niat".


Perkara-perkara yang boleh dibentuk dalam diri seorang Islam melalui berpuasa:
1. Sifat ikhlas
Puasa melibatkan menahan diri dari perbuatan-perbuatan tertentu sepanjang hari (daripada waktu imsak sehingga waktu berbuka) dalam keadaan di khalayak ramai ataupun bersunyi diri. Kerana ini puasa dapat membentuk sifat melakukan ibadah ini semata-mata kerana Allah (bukan kerana ingin dilihat oleh manusia) untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah di samping menjauhi akibat meninggalkan suruhan Allah ini

2. Membentuk sifat pengorbanan, sabar dan tabah.
Mengekangkan nafsu syahwat dan keinginan walaupun untuk perkara-perkara yang halal seperti makan dan minum serta bersetubuh dengan isteri di siang hari secara tidak langsung membina sifat pengorbanan, kesabaran dan ketabahan menghadapi kepayahan. Ini termasuk membina sifat sabar dalam menahan kemarahan dan bersifat lapang dada semasa sedang berpuasa (dan selepas berbuka)


3. Menyihatkan tubuh badan
Puasa memberi peluang untuk tubuh badan kita terutamanya bahagian pemakanan dan penghadaman untuk berehat selama sebulan selepas sembilan bulan bekerja keras (memproses makanan untuk kita). Namun begitu, kesan yang baik hasil daripada berpuasa mungkin hilang jika kita berlebihan semasa berbuka atau bersahur, malah mungkin boleh mendatangkan mudharat.

4. Menghayati kehidupan mereka yang kurang atau tidak berkemampuan
Puasa memberi kita peluang untuk merasa kepayahan mereka yang tiada makanan atau minuman pada siang hari dan terpaksa berlapar dan dahaga. Dengan menghayati hakikat ini, akan datang rasa keinsafan dan simpati terhadap mereka. Pembayaran zakat fitrah juga menunjukkan keprihatinan kita untuk menjalankan tanggung-jawab terhadap mereka.


Tingkatan-tingkatan puasa:

Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin membahagikan puasa kepada tiga tingkatan, iaitu Puasa Umum, Puasa Khusus dan Puasa Khususul khusus.

1. Puasa Umum
Puasa pada tingkatan ini hanya sekadar menahan lapar dan dahaga di samping menahan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.


2. Puasa Khusus
Puasa pada tingkatan ini lebih baik daripada puasa umum kerana ia termasuk menahan pendengaran, penglihatan, percakapan, perbuatan (tangan, kaki dan seluruh anggota badan yang lain) daripada melakukan dosa.

Untuk mencapai tahap puasa ini, perkara-perkara berikut perlu diambil-kira di samping menahan lapar, dahaga dan keinginan nafsu syahwat:

- menjauhkan diri daripada melihat perkara-perkara yang tercela, dibenci oleh syariat dan boleh melalaikan daripada mengingati Allah

- menjauhkan diri daripada mengumpat, menipu (berdusta), atau bercakap tentang perkara yang sia-sia (tidak mendatangkan faedah). Sebaliknya habiskan masa dengan berzikir, membaca Quran atau sekadar berdiam diri

- menjauhkan diri daripada mendengar perkara yang haram dan mendatangkan dosa

- menjauhkan anggota tubuh badan yang lain daripada perbuatan maksiat dan perkara-perkara yang mendatangkan dosa.

- mengelak diri daripada berbuka dengan perkara yang syubhat dan yang haram, di samping mengelakkan daripada makan dan minum semasa berbuka secara berlebihan

- wujudkan rasa ketakutan kepada Allah dan rasa akan kehebatan Allah, sama ada puasa ini akan diterima atau ditolak oleh Allah kerana kekurangan yang ada.


3. Puasa Khususul khusus
Puasa pada tingkatan ini adalah terbaik kerana ia termasuk menahan hati daripada melakukan dosa (seperti tersedik untuk melakukan maksiat) dan dari memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan kehidupan akhirat.
Puasa pada tahap ini adalah puasa para nabi dan mereka yang memiliki sifat taqwa yang tinggi kepada Allah


Rukun Puasa:
Tiga rukun puasa adalah:

1. Seorang muslim (beragama Islam), baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih dari haid dan nifas.

2. Niat berpuasa antara waktu selepas terbenam matahari dan sebelum subuh (puasa wajib)

3. Meninggalkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa iaitu:

- memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh dengan sengaja (bukan terlalai atau terlupa), termasuklah merokok, memasukkan jari atau sebarang objek ke dalam telinga, hidung, kemaluan depan (faraj) dan belakang (dubur)

- muntah dengan sengaja (contohnya dengan menjolok tekak dengan jari)

- menelan kahak (lendir yang keluar daripada bahagian kepala atau dada)

- keluar haid atau nifas (jika terkeluar, maka puasa terbatal dengan sendirinya)

- keluar mani dengan sengaja (kecuali berlaku dalam mimpi atau keadaan tidak sedar)

- jimak atau bersetubuh (sama ada keluar mani atau tidak)


Perkara-perkara yang disunatkan dalam berpuasa

1. Bersahur
Maksudnya adalah makan atau minum antara waktu pertengahan malam
hingga waktu sebelum imsak, walaupun sekadar minum seteguk air

2. Menyegerakan berbuka
Maksudnya adalah mempercepatkan berbuka puasa apabila telah masuk waktu(bukan menangguh-nangguhkannya), walaupun dengan sebiji tamar atau seteguk air.

3. Beriktikaf (di masjid)

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan tujuan berpuasa.


Solat Tarawih

Solat Tarawih pada umumnya adalah sunat dan boleh dikerjakan secara berseorangan (bukan berjemaah). Menurut riwayat Nabi s.a.w pernah mengerjakan solat tarawih di masjid bersama para sahabat. Pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a., beliau memerintahkan umat Islam pada masa itu mengerjakannya secara berjemaah dan beliau melantik Ubai bin Kaab sebagai imam.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan bilangan rakaat solat Tarawih. Ada yang berpendapat 41 rakaat, 39 rakaat, 23 rakaat, 13 rakaat, 11 rakaat dan ada juga beberapa pendapat lain.

Menurut Mazhab Syafie, pendapat yang digunakan adalah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat. Imam Nawawi ada menyebut bahawa seelok-eloknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran di dalam solat Tarawih sepanjang bulan Ramadhan dengan menghabiskan 1 juzuk setiap malam.


Kelebihan Malam Sepuluh Terakhir Ramadhan dan Malam Lailatul Qadar.

Antara kelebihan malam sepuluh terakhir Ramadhan ialah:

1. Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w. memperbanyakkan ibadah pada malam sepuluh terakhir melebihi daripada malam-malam yang sebelumnya.

2. Terdapat malam Lailatul Qadar yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak di mana pada malam itulah diturunkan al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Qadar ayat 1.

Hadis berkenaan Malam Lailatul Qadar
Hazrat Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatulqadar, lalu Baginda bersabda (mafhumnya):

"Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir. Sesungguhnya Lailatulqadar berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat pada malam-malam itu dengan iman dan niat untuk mendapat ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan.

Antara tanda-tanda Lailatulqadar adalah keadaan terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar (kerana banyak nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Antara tanda-tanda Lailatulqadar lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Matahari terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu (sebaliknya pada hari-hari lain syaitan akan muncul di tempat terbitnya matahari)."

(Sumber: Fadhilat Ramadhan)


3. Iktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadhan (bermula dari sebelum terbenam matahari hari ke 20 bulan Ramadhan hingga selepas terbenam matahari hari terakhir bulan Ramadhan) di mana fadhilatnya adalah lebih banyak dari hari-hari biasa, dengan mendampingi masjid untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti solat, membaca Quran dan berzikir.



Zakat Fitrah:
Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa termasuk bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan (menurut Mazhab Syafie). Kadarnya adalah secupak tamar, gandum, atau makanan rasmi sesebuah negara. Ia boleh dibayar bermula dari awal Ramadhan sehingga Hari Raya Pertama (walaupun makruh hukumnya untuk membayar selepas solat sunat hari raya)


Sumber rujukan: Panduan Puasa Ramadhan (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Untuk maklumat lanjut tentang puasa di bulan Ramadhan, sila muat turun Panduan Puasa Ramadhan melalui link pada gambar di bawah.

KLIK GAMBAR UNTUK MUAT TURUN EBOOK PERCUMA

Tuesday, July 14, 2009

Bulan Syaaban



Pengenalan
Setelah diserikan dengan Bulan Rejab yang bersangkutan dengan kejadian Israk Mikraj yang berlaku ke atas junjungan kita Baginda Muhammad s.a.w, Bulan Syaaban pula menyusul dalam kalendar Hijrah.

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada ketika itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Setelah kedatangan Rasulullah s.a.w, beliau mengekalkan nama tersebut sehinggalah kini.


Kelebihan bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa bulan Rejab adalah kesempatan untuk kita memohon keampunan dari segala dosa yang telah dikerjakan, di samping memperbaiki diri dari segala macam cela sebelum tiba bulan Ramadhan yang merupakan masa untuk menerangkan hati dan jiwa kita.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

1. Memperbanyakkan puasa sunat
Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Oleh itu adalah wajar bagi kita mencontohi Baginda s.a.w dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi mengagungkan bulan Syaaban ini.

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Mafhum sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. Bertaubat
Mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Umamah Al Bahili r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Malam Nisfu Syaaban

Terdapat riwayat bahawa Malam Nisfu Syaaban adalah masa penutupan buku amalan setiap manusia dan dibuka buku amalan yang baru, namun perkara ini tidak dapat dikesan dari sumber-sumber yang sahih. (Sumber: MyMasjid)

Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sya'aban yang mana mafhum sabda Nabi s.a.w:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Hadis riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
...Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in).
...Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas."
(Sumber: Al-Qayyim)



Kelebihan Malam Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban (yang bersamaan dengan tarikh 15 Syaaban) pada tahun ini jatuh pada hari Khamis 6 Ogos.

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.
Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.” (Sumber: Al-Azim)

Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah, maksudnya:
"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Syaaban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu Wataala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib".

Keagungan malamnya dengan malam Nisfu-Syaaban sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk-Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan malam lailatulqadarnya.
Maka pada malam Nisfu-Syaaban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:-"Angkat kepala mu ke langit,itulah malam yang dibukakan pintu langit "

Cara umat Islam sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan setiap kali lepas membaca Surah Yaa Siin, mereka membaca doa. Pada bacaan Surah Yaa Siin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. (Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Brunei)




Bulan Syaaban adalah peluang untuk kita mempersiapkan diri kita dalam menempuh ibadah puasa dan bersolat tarawih dalam bulan Ramadhan. Dalam pada itu kita perlu bijak dan berhati-hati dalam membezakan antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan amalan yang merupakan kebiasaan kita pada hari ini. Amalan-amalan baik juga janganlah hendaknya kita hadkan kepada bulan Rejab dan Syaaban sahaja, namun harus kita jadikan amalan sepanjang tahun.
Semoga peluang yang tiba di dalam bulan Syaaban ini dapat saya ambil iktibar dan menfaatkan sebaiknya, dan begitu juga anda semua, Insya'Allah.
Wallahua'lam

Friday, June 19, 2009

Bulan Rejab

Pengenalan
Rejab adalah bulan ke 7 di dalam kalendar Islam dan kehadirannya menandakan tempoh dua bulan yang perlu kita lalui sebelum tibanya bulan Ramadhan untuk kita mengerjakan ibadah puasa selama sebulan.

Bulan Rejab adalah salah satu daripada bulan-bulan haram (Al-Ashhur Hurum) dalam Islam di samping bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, sebagaimana yang diterangkan secara umum tentang bulan-bulan haram di dalam surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37).

Ulama berselisih pendapat tentang sebab-sebab bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram.
Antara sebab-sebab mengapa 4 bulan-bulan ini dipanggil bulan haram :

1. Kebesaran dan kehormatannya, sebagaimana besarnya pahala atau dosa amalan-amalan yang dikerjakan dalam bulan-bulan ini.

2. Pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu pada masa jahiliyah, malah dikatakan telah diamalkan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi

3. Keamanan dan keselamatan bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji dan umrah di dalam bulan-bulan haram tersebut di mana Rejab untuk ibadah umrah pada pertengahan tahun, Zulkaedah untuk perjalanan bakal haji ke Makkah, Zulhijjah untuk mengerjakan haji dan Muharram untuk para haji pulang ke tempat masing-masing.


Antara peristiwa yang berlaku di dalam bulan Rejab adalah:

1. Peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

2. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj pada 27 Rejab (terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerimanya sebagai hari tersebut). Umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih. Peristiwa Israk Mikraj juga menandakan bermulanya solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam.

3. Hari kemuliaan kepada bangsa arab sebelum kedatangan Islam di mana:
a) Pada 1 Rejab mereka akan menyembelih anak unta sebagai qurban, dan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya
b) Pada 10 Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
c) Di dalam bulan ini diharamkan berperang, namun setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

4. Pembebasan Al-Aqsa daripada tangan tentera Salib


Kelebihan bulan Rejab

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kelebihan bulan Rejab, namun ulamak berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis tersebut sebagai dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu) dan mereka bersikap berhati-hati sebelum menyampaikannya kepada umum.

Penentuan sesuatu hadis (kata-kata dari Rasulullah s.a.w) sebagai sahih, hasan, dha’if atau maudhu’ adalah berdasarkan perbincangan panjang lebar para ulamak.

Di antara contoh mafhum hadis-hadis Nabi s.a.w mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

1.“Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

2. “Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.
(Hadis ini juga dhai’f)

3. “Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)


Amalan-amalan di dalam bulan Rejab

Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhah Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.

Sumber: At-Tibyan



Perisitwa Israk Mikraj

Mafhum Firman Allah S. W. T. :
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

"Dan ingatlah tatakala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmunya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia".
(Surah Al-Israa': Ayat 60)



Peristiwa sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


Peristiwa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah s.a.w telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2. Bukit Tursina, tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah
3. Baitul-Laham, tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai, dan hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyithah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur), kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah s.a.w tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah s.a.w berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah s.a.w untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Perisitwa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

Kepada Rasulullah s.a.w., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH".

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA'ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".


Setelah melihat beberapa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


PERISTIWA SELEPAS MIKRAJ

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Sumber: Ustaz Azhar Idrus (dari Kitab Jam'ul-Fawaa`id)


Bulan Rejab yang akan kita sambut pada 24 Jun 2009 ini adalah peluang untuk kita mendekatkan diri dengan Allah melalui pelbagai amalan termasuk puasa sunat, bersedeqah, ibadah dan mengambil kesempatan berdoa pada malam awal rejab sebagaimana yang disarankan oleh para alim-ulamak; di samping berhati-hati dalam mengelak amalan bid’ah yang menyimpang dari agama Islam. Peristiwa Israk Mikraj memberi kita banyak pengajaran dalam menjalani hidup yang diredhai Allah s.w.t mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, di samping menghayati nilai solat fardhu 5 waktu yang dianugerahkan kepada umat akhir zaman ini.

Semoga apa yang terkandung dalam artikel ini dapat saya ambil pengajarannya dan juga anda semua.

Wallahua'lam..

Friday, May 22, 2009

Ayat Seribu Dinar

Maksud Ayat:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan jalan keluar serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.
Dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)



Pengajaran dari Ayat:

1. Allah berjanji kepada mereka yang takwa (takut kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya) untuk mengeluarkan mereka dari sebarang kesulitan dan memberi rezeki kepada mereka dari sumber yang tidak disangka-sangka

2. Allah berjanji kepada mereka yang bertawakkal (menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah) untuk mencukupkan keperluannya

3. Bagi tiap sesuatu Allah telah menentukan kadar dan masanya untuk berlaku





Kisah di sebalik penurunan ayat (asbabun nuzul):

Kisah Auf bin Malik AlAsyja'i yang ditawan oleh kaum musyrikin dan bapanya mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w. Beberapa peristiwa telah berlaku dan ayat-ayat ini diturunkan kepada Rasulullah s.a.w secara berperingkat-peringkat. Akhirnya Auf telah dapat melepaskan diri bersama unta-unta pihak musuh.


Mafhum sebuah hadis Nabi s.a.w.:

Dan sesungguhnya seseorang akan terhalang dari rezeki kerana dosa yang diperbuatnya. Dan tidak ada yang dapat menolak qadar kecuali doa; dan tidak ada yang boleh menambah umur melainkan kebaikan

- Hadis riwayat Nasa'i dan Ibnu Majah, dari Sufyan Thauri




Bacaan dan terjemahan ayat:








Sedikit pesanan tentang ayat:


Wallahua'lam.

Wednesday, May 20, 2009

Bahaya Maksiat

Antaranya:

Menghilangkan rahmat Allah

Melenyapkan nikmat dan mendatangkan azab

Memalingkan istiqamah

Menghilangkan rasa malu

Memudahkan perbuatan dosa

Melemahkan hati dan badan

Menutup hati

Menyulitkan urusan

Mematikan amalan soleh

Menjauhkan pelaku dengan orang lain

Menghalang dan menyempitkan rezeki

Mematikan bisikan hati nurani

Menghalang syafaat Rasulullah s.a.w

Memendekkan umur

Menghapuskan keberkatan

Menimbulkan maksiat baru

Menghalang ketaatan

Hilangnya bantuan Allah

Menimbulkan kehinaan

Menggelapkan hati

Merosakkan akal

Mewarisi kehinaan

Merugikan makhluk-makhluk lain

Menghalang ilmu pengetahuan

Merosakkan keturunan

Menjadikan diri jauh dari Allah

Wallahua'lam...

Tanda-tanda Hari Kiamat

Tanda-tanda Awal
Rasulullah S.A.W telah bersabda (mafhumnya), "Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq"

Berkata Ali bin Abi Talib, "Akan datang di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."


Sabda Rasulullah S.A.W lagi, "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."


Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda: "Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat. "Baginda menyebutkan salah satu di antaranya : Penaklukan Baitulmuqaddis." -Sahih Bukhari,


"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” - -Sahih Muslim


"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab;"Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” - Ibnu Majah


"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” - Riwayat Nasai.


"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." -Riwayat Ahmad dan Hakim


"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran. - Riwayat Ahmad


"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" -Riwayat Thabrani


"Sesungguhnya diantara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." - Riwayat Ahmad


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang."


"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." -Riwayat Thabrani & Sahih Muslim


"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu” -Sahih Muslim


"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar" - -Riwayat Ahmad


"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai."




Tanda-tanda Akhir


“Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, Sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?" Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat."


Sabda Rasulullah S.A.W. (mafhumnya)"Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Asap, Dajjal, Binatang melata di bumi, Terbitnya matahari sebelah barat, Turunnya Nabi Isa A.S, Keluarnya Yakjuj dan Makjuj, Gerhana di timur, Gerhana di barat, Gerhana di jazirah Arab, dan Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka."


Asap. Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.

Dajjal. Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'.

Binatang melata di bumi. Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah 'Ini adalah orang kafir'.

Terbitnya matahari sebelah barat

Turunnya Nabi Isa A.S. Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.

Keluarnya Yakjuj dan Makjuj. Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.

Gerhana di timur

Gerhana di barat

Gerhana di jazirah Arab

Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka
Wallahua'lam

Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif